Tuesday, March 7, 2017

Siri Bercakap Dengan Jin

Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

siri.246 : 3 Manusia Laknat Tewas


Lelaki berdarah dahi ketakutan. Rahsianya sudah dapat dikesan. Dalam usaha melindungi keburukannya, dia terus menerpa ke arah datuk dengan harapan untuk berpelukan sambil mohon maaf. 
Semasa lelaki berdarah dahi membuka sepasang tangannya selebar mungkin untuk merangkum tubuh datuk, dengan pantas pula datuk mengelak. Memang datuk tidak mengizinkan tubuhnya disentuh oleh lelaki berkenaan. 
Menyedari datuk mengelak, lelaki berdarah dahi merasa malu. Dia kembali berdiri di tempat asalnya. Tanpa segan-segan terus memasukkan tangan ke dalam seluar di bahagian belakang. Meraba kulit punggung sambil menggerakkan jari-jemari ke bahagian kemaluannya.
Datuk hanya melihat saja telatahnya, begitu juga dengan Pak Habib. Tetapi, saya dan pemandu merasa ganjil dengan perbuatannya itu. Apakah yang dicari dan diraba dari punggung hingga ke alat kelaminnya?
"Ini azimat yang akhir" 
Tangan kanan lelaki berdarah dahi menghulurkan serangkai azimat yang disalut dengan tembaga putih kepada datuk. Datuk tidak menyentuhnya. 
"Ini pula tangkal ibu besi" 
Lelaki berdarah dahi membuka telapak tangan kiri yang digenggamnya. Ada seketul bebola besi kecil tergolek di bahagian tengah telapak tangan.
"Saya sekadar menolong mereka" lelaki berdarah dahi seakan-akan merungut panjang. Datuk buat tidak kisah tetapi, Pak Habib hanya senyum saja.
Tanpa disuruh lelaki berdarah dahi menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan sehelai kain empat segi, bentuknya lebih besar dari sehelai sapu tangan biasa. Kain dua warna, merah dan hitam itu dibentang tas tanah. 
Semua azimat milik dua orang kawannya dan miliknya yang ada di situ dikumpul dan dibungkusnya. 
"Semua tangkal ini diberi orang KUBU. Mereka berpesan tangkal tidak boleh dilangkah, jika tidak mahu digunakan dibuang ke laut dalam" lelaki berdarah dahi bagaikan memberi sebuah ceramah pendek. Pendengar setianya (Pak Habib) tetap memberikan senyuman. 
Bungkusan yang berisi azimat itu diikat dibuat semacam uncang. Semasa bungkusan azimat mahu diubah ke tempat lain, datuk segera melarangnya. Lelaki berdarah dahi mempertahankan perbuatannya.
"Bukan apa-apa, saya taruh di situ dulu, bila kita mahu keluar dari tempat ini, saya ambil kemudian saya buang ke laut selat melaka. 
"Petua cara lain tak ada?" soal datuk lagi.
"Tak ada, mesti dibuang ke laut" satu jawapan yang serius dari lelaki berdarah dahi.
"Bagaimana? Kalau ada orang lain yang tahu cara baru" datuk mula menguji. 
"Mustahil ada yang tahu"
"Bagaimana kalau saya katakan, ada orang yang tahu" hujah datuk lagi. 
"Kalau ada, silakan" 
Datuk terdiam. Dalam baik lelaki itu mencabarnya. Kalau tidak dijawab, lelaki berdarah dahi dapat mengukur sejauh mana kemampuannya.
"Humm..." keluh datuk.
"Tamatkan saja di sini" Pak Habib mengeluarkan pendapat. 
"Sabar dulu, kita selesaikan cara kita" datuk tidak mahu mengalah.
Dalam usaha mencari akal dan helah untuk mengatasi persoalan yang dihadapi, dua tiga kali datuk gosok pangkal hidung sambil merenung ke dada langit. 
Malam beransur larut, terasa titik embun jantan gugur menyentuh rerumput dan dedaun. Bulan yang mengambang masih setia menebarkan sayapnya. 
Dalam kesamaran cahaya bulan itu, sepasang mata nakal saya, sempat menjeling ke arah dua orang rakan lelaki berdarah dahi. Kedua-duanya termenung dalam gaya tersendiri. Nampak lesu sekali. Seolah-olah tidak berminat dengan apa yang berlaku di depan mata mereka. 
"Aku tahu, ada caranya untuk menghancurkannya, tak payah pergi ke laut untuk memusnahkannya.
"Haaaaa...... " mulut lelaki berdarah dahi terlopong. Matanya menatap wajah datuk.
"Kamu memang orang pandai yang hebat" sambung lelaki berdarah dahi. Senyum sinis berlari di bibirnya. 
Datuk menerima sanjungan itu dengan air muka yang tenang. Dan setenang itu pula dia merenung ke arah bungkusan kain berwarna merah hitam. Dua orang lelaki sahabat kepada lelaki berdarah dahi yang tadi kelihatan lesu, tiba-tiba seperti bertenaga. Bulat biji mata mereka merenung ke arah datuk. 
"Tamar ambilkan aku ranting kayu bercabang tiga, tidak jauh dari belakang kamu, sebelah kanan" 
Saya segera menoleh ke arah yang datuk maksudkan. Puas renung sekeliling, pokok bercabang tiga yang dimaksudkan tidak kelihatan. Sukar mencari sesuatu dalam keadaan yang samar-samar. 
"Masa masuk ke mari tadi, aku dah nampak pokok itu, langkah tiga tapak ke kanan, nanti pokok itu kamu temui" datang arahan dari datuk. Saya garu kepala. 
Akhirnya, arahan itu dipatuhi, pokok yang datuk maksudkan berhasil ditemui. Batang pokok bercabang tiga segera dipatahkan dan tanpa membuang masa terus diserahkan kepada datuk. Saya tergesa-gesa kembali kepada kedudukan asal. 
"Allahhu akbar" 
Itu yang terkeluar dari mulut datuk. Saya dan pemandu berpandangan sementara Pak Habib (Syed Hamid Al-Hadad) terus berzikir. 
"Apa yang datuk kamu nak buat Tamar?" si pemandu gatal mulut menyoal. 
"Tengok saja, jangan banyak cakap" bentak saya keras. Muka pemandu nampak masam sekali.
"Allahhu akbar" ulang datuk.
Daun dari pokok bercabang tiga yang ada di tangannya segera dibuang sehelai demi sehelai. Begitu juga dengan bahagian hujung ranting. Di bahagian tengah batang pokok dipatah dua. Bahagian batang yang tidak diperlukan (termasuk ranting dan daun) datuk campak jauh-jauh. 
Sesuatu yang menarik dan boleh dikategorikan sebagai pelik dapat dilihat pada bahagian batang pokok yang dipatahkan (berada dalam tangan datuk) kelihatan sama rata, seperti dipotong atau dikerat dengan gergaji.
"Ehem..." 
Datuk renung muka Pak Habib sambil tersenyum.
"Sukat" sambung datuk.
"Dengan apa?" lembut Pak Habib bertanya. 
"Sukat pakai jengkal dengan jari, semasa saya menjengkal (sukat) batang kayu ni, awak bacalah ayat kursi" 
"Insya Allah, saya usahakan" janji Pak Habib. 
Datuk pun menyukat batang kayu bercabang tiga dengan jari kiri, dari pangkal hingga ke rantingnya sekali. Selesai disukat, ranting pokok bercabang tiga ditikam ke bumi tiga kali berturut-turut. Tiada perkara luar biasa berlaku. 
"Terima kasih kerana membantu saya" tutur datuk pada Pak Habib.
"Berterima kasih dan berilah pujian pada Allah yang maha besar. Tanpa bantuan dariNya, kerja kita tak bermakna" 
"Betul" Datuk mengiyakan kata-kata Pak Habib. Mereka tersenyum puas. Lelaki berdarah dahi bersama dengan dua orang kawannya tidak bersuara. Tetapi gerak geri datuk tetap jadi perhatian mereka.
"Tikam yang nak saya buat ni, tikaman keempat atau pun tikaman terakhir. Kalau gagal, bererti syaitan tetap menguasai mereka bertiga" datuk menudingkan telunjuknya ke arah lelaki berdarah dahi dan kawan-kawannya. 
Pak Habib mengangguk faham.
"Apa yang perlu saya bantu" Pak Habib menawarkan diri. 
"Tolong doakan supaya kerja saya berhasil" minta datuk. 
"Saya cuba, niat awak baik. InsyaAllah berjaya"
"Terima kasih" 
"Segala pujian untuk Allah" sahut Pak Habib dan datuk tersenyum hambar, terasa dirinya dipersendakan dalam suasana yang sungguh sopan. 
"Saya mulakan sekarang" 
"Silakan sahabat" balas Pak Habib. Datuk pun memulakan tugas beratnya, sasaran tikaman kayu bercabang tiga, bukannya permukaan bumi. Tetapi bungkusan kain berwarna merah hitam. Kayu bercabang tiga tepat mengenai sasarannya. Serentak dengan itu terdengar letupan kecil, macam letupan mercun beserta dengan percikan api yang terus membakar bungkusan kain merah hitam hingga menjadi abu. 
Tiga manusia laknat terkejut besar, mereka berpandangan sesama sendiri. Rasa cemas, takut tidak dapat dihindarkan dari berpesta di wajah ketiga -tiga manusia tersebut. 
Bau yang amat busuk menguasai kawasan sekitar. Si pemandu yang tidak tahan dengan bau tersebut terus muntah.
Bagi menahan muntah agar tidak berlanjutan yang boleh membawa mudarat pada si pemandu, datuk mengambil sehelai rumput berwarna agak kekuning-kuningan. Setelah dibacakan sesuatu, rumput yang dicabut secara songsang (terbalik) diberikan pada pemandu yang tidak bermaya untuk dihidu.
Tiga kali sedut, muntah berhenti dengan serta merta. Muka yang tadi, pucat lesi kembali merah segar. 
"Bau apa yang busuk sangat ni?" pemandu ajukan pertanyaan. Datuk mengkedutkan dahi. Pak Habib renung ke arah ketiga-tiga manusia laknat yang tunduk keresahan. 
"Bau apa yang busuk sangat ni?" ulang si pemandu. 
"Dari bungkusan yang terbakar, kamu nak tahu apa benda yang dibungkus dalam kain merah hitam untuk dijadikan ibu azimat itu?" tenang datuk ajukan soalan pada pemandu. 
"Iya, saya nak tahu" 
"Mayat bayi yang dikeringkan atas bara api selama 33 hari, kemudian dipuja hingga mayat bayi itu bergerak, seolah-olah bernyawa. Masa itu dibuat ikrar antara orang yang minta azimat dengan bayi" Datuk berhenti cakap, macam ada sesuatu yang cuba menghalang penjelasannya pada pemandu Pak Habib.
Setelah tergendala kira-kira lima minit, datuk kembali berusaha memberikan penjelasan lagi pada si pemandu. Tetapi masih ada gangguan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Datuk terpaksa bersabar dan bertenaga. Bila keadaan sudah terkawal barulah datuk meneruskannya. 
"Bila sudah setuju mayat bayi itu dipuja lagi hingga tidak bergerak dan terus mengecil sebesar ibu jari orang dewasa. Kemudian dimasukkan dalam lubang buluh gading, dibalut kain tujuh warna lalu dimasukkan dalam tabung tembaga putih, mereka gunakan ini sebagai azimat. Satu kerja syirik dan pembohong" datuk mengakhiri penjelasannya.
"Saya faham sekarang" terlontar kata dari pemandu Pak Habib. Di wajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat. Saya lihat Pak Habib tetap tenang, tidak memberikan sebarang komentar. Anak matanya merenung lembut, penuh simpati ke arah ketiga-tiga manusia laknat yang berdiri kaku, macam orang bodoh. 
"Bagaimana dengan mereka, mahu diserahkan kepada polis atau dibiarkan di sini. Kalau tak jadi halangan biar saya yang menghukum" datuk mengemukakan cadangan.
Saya tahu itu hanya berupa ugutan untuk menguji ketahanan mental dan keyakinan mereka bertiga. Pak Habib yang bagaikan mendapat alamat, tahu apa yang datuk katakan itu bukannya sesuatu yang benar, turut tersenyum.
"Begini....." belum pun sempat Pak Habib menamatkan ucapan, ketiga-tiga lelaki laknat itu menerkam ke arah Pak Habib. Mereka melutut di depan Pak Habib.
"Tolong kami, jangan benarkan lelaki ini menghukum kami" lelaki berkulit agak gelap menuding jari ke arah datuk. Pak Habib yang tergamam dengan apa yang terjadi di depannya, menarik nafas lemah. 
"Ilmunya lebih tinggi dari guru kami, tolong beritahu dia jangan turunkan kutukan kepada kami" sambung lelaki berkulit agak gelap.
"Tolong selamatkan kami" sahut dua orang temannya, mereka kelihatan seperti mahu menitiskan air mata. Datuk memalingkan mukanya ke arah kawasan berbukit. Tidak mahu melihat wajah tiga manusia laknat yang sedang merayu. 
"Sabar, bangunlah. Biar saya uruskan" 
Saat datuk melangkah mendekati Pak Habib, ketiga-tiga manusia laknat itu bangun serentak. Cemas tetap terpamir di wajah mereka. Pak Habib membisikkan sesuatu ke telinga datuk. Mereka saling mengangguk, seolah-olah mencapai kata sepakat. 
Tiga manusia laknat menanti penuh debar. Begitu juga saya dan pemandu, dada kami sarat dengan pertanyaan. Apakah hukuman yang bakal dikenakan datuk terhadap mereka. 
Pak Habib memisahkan diri dengan datuk lalu mendekati tiga manusia laknat. Dalam sekelip mata, tiga lelaki mengelilingi Pak Habib, macam langau menghurung bangkai. 
"Bagaimana?" 
Lelaki berwajah separuh bulat tanpa segan silu terus bertanya. Pak Habib tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Sama ada terkejut atau simpati. Dia kelihatan bersahaja sekali. 
Kerana tidak menerima tindak balas yang positif. Ketiga-tiga lelaki laknat terus mengeluh penuh kehampaan dan kecewaan. Saya dan pemandu serentak menggaru pangkal dagu yang tidak gatal. 
"Semuanya bertindak lambat" si pemandu protes.
"Biar lambat asalkan hasilnya baik" balas saya. 
"Kamu memang banyak dalih, Tamar" si pemandu melepaskan geram untuk saya. Satu perbuatan yang tidak wajar dilayan. 
Angin malam yang bertiup menggugurkan dedaun tua. Waktu terus mengisut. Dalam jangkaan saya sudah mendekati waktu tengah malam. 
Bulan sudah beberapa kali dilindungi awan. Lolongan anjing liar sudah jarang kedengaran. Begitu juga dengan suara burung hantu dan pungguk pun sudah berhenti merayu bulan. Kedinginan terasa kian hebat mencubit kulit. 
"Tuan berilah jawapan, jangan kami diseksa begini" 
Dengan serta merta sepasang biji mata saya terbeliak, merenung ke arah lelaki berdarah dahi yang sedang memeluk lutut Pak Habib. 
"Masih mahu berdrama" komen si pemandu. 
"Jaga mulut kamu" amaran saya untuknya. 
"Maafkan saya" si pemandu mengalah. 
Tindak balas Pak Habib terhadap kelakuan lelaki berdarah dahi, tidak berubah. Masih seperti tadi, dia suruh lelaki berdarah dahi bangun. Jangan memeluk dan mencium kepala lututnya. Lelaki berdarah dahi juga disuruh bergabung kembali dengan dua orang kawannya. 
Suasana yang dihadapi, terasa kurang menyenangkan. Penuh persoalan dan seribu kebimbangan. 
Pak Habib berdiri memeluk tubuh, matanya merenung ke langit sambil melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke depan. Perbuatan itu diulanginya beberapa kali. Macam ada sesuatu yang dicarinya, macam ada sesuatu yang difikirkannya. 
Tinďak tanduk dua lelaki ini (datuk dan Pak Habib) penuh dengan misteri. Masing-masing ada gaya tersendiri dalam memecahkan masalah yang dihadapi. Perbuatan mereka itu, membuat saya dan pemandu adakalanya merasa benci dan meluat. Selalu membuat kami berada dalam keadaan serba tertekan.
"Menyusahkan" keluh batin saya sendirian. 
"Alhamdullilah..." 
Sungguh mengejutkan, serentak dengan ungkapan yang diucapkan. Pak Habib meluru ke arah ketiga-tiga manusia laknat. Satu persatu tubuh lelaki terbabit dipeluk dan didakapnya. Paling mengesankan, bila melihat Pak Habib yang tenang dan lembut itu menangis tersedu-sedu. 
Melihat keadaan di luar dugaan, si pemandu segera mendekati majikannya, tetapi, Pak Habib menyuruh dia beredar dari sisinya. Dan kembalilah si pemandu mendekati saya dengan wajah muram.
"Tak pernah dia buat perangai macam tu dengan aku" si pemandu merungut. 
Saya cuma tumpang senyum saja.
Rasa terkejut itu turut juga dialami oleh datuk. Seluruh perhatian ditumpukan pada Pak Habib, kawan barunya. Datuk siap sedia untuk bertindak atau memberi apa saja bantuan pada Pak Habib, jika keadaan memaksa. 
Setelah bertahan dalam keadaan yang serba tegang dan cemas lebih dari sepuluh minit. Saya merasa bersyukur kerana tidak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini. 
Pak Habib kembali berdiri di tempat asal, tetapi dia masih dikelilingi oleh ketiga-tiga manusia laknat yang merasa bertuah kerana didakap oleh Pak Habib. Perkara yang tidak pernah mereka mimpikan, lebih-lebih lagi sejak tercetusnya peristiwa untuk menculik Pak Habib yang pernah menjadi majikan mereka. 
"Saya sedih kerana ada orang islam yang sanggup bertuankan syaitan, pada hal mereka itu terdiri dari orang yang ilmu agamanya tidaklah cetek. Saya kecewa, orang yang pernah bekerja dengan saya, pernah saya bantu, memusuhi saya yang seagama. Perkara ini terjadi kerana dorongan nafsu yang diperkudakan oleh syaitan" dalam tangisan Pak Habib bersuara tersangkut-sangkut. 
Saya dan pemandu menarik nafas lega. Datuk menggigit bibir menahan rasa sebak. Ketiga-tiga lelaki laknat yang mengelilingi Pak Habib undur setapak ke belakang
"Sekarang apa yang boleh aku bantu kalian, asalkan kalian jangan jadi manusia tunggangan nafsu yang dikuasai oleh syaitan. Kamu mahu wang ringgit, harta benda, cakap apa saja. Asalkan kamu jangan melakukan perbuatan ini pada orang lain" amat lantang suara Pak Habib. Buat seketika tiada tindak balas dari ketiga-tiga manusia laknat. Semuanya membisu. 
"Cakap sekarang, apa yang kamu inginkan dari aku" jerit Pak Habib.
"Kami tak mahu apa-apa tuan" suara lelaki wajah separuh bulat.
"Humm....." dengus Pak Habib.
"Maafkan kami tuan, ampunkan kami tuan. Selama ini kami fikirkan kami bertiga handal kerana ada azimat dan tangkal, rupanya tuan dan kawan tuan lebih hebat dari kami" Lelaki berkulit agak gelap bersuara. 
Pak Habib kelihatan agak berat untuk memberikan jawapan pasti. Buat seketika dia termenung panjang sambil menahan rasa sedih, hampa dan kecewa. Secara perlahan-lahan datuk segara mendekatinya. 
"Usah dikesal dengan apa yang terjadi" bisik datuk. 
Pak Habib anggukkan kepala sambil mengesat kesan air mata di pipi. 
"Ini ujian Allah untuk aku dan untuk mereka juga" suara Pak Habib lemah sekali. Kalau tadi Pak Habib anggukkan kepala, kini giliran datuk pula mengangguk.
"Jadi kita harus cari penyelesaian" celah datuk. 
"Kamu marah dengan mereka?" Pak Habib pula bertanya. 
"Kalau tak marah tu pembohong namanya, saya marah tapi sekarang dah kurang. Cuma saya kesal dengan perbuatan mereka" jelas datuk.
"Kamu dendam dengan mereka?" Datang lagi pertanyaan dari Pak Habib.
"Tak dendam"
Jawapan dari datuk membuat Pak Habib tersenyum senang. Dia melangkah ke arah ketiga-tiga lelaki laknat. Wajah ketiga-tiga manusia yang cemas direnungnya satu persatu.

(Bersambung......)

11 comments:

Anonymous said...

Terima Kasih kerana menyiarkan koleksi SBDJ ini. Siri 246 agak2 bila dapat disiarkan?

Unknown said...

Salam.bila boleh dpt baca ya?

Unknown said...

Bila pos lg?

Multiamerul said...

Aduhaiii ....tgh feeling.....

Unknown said...

tolong.. x sabar mnunggu

Anonymous said...

masih xde ld ke ....... dah lama sgt menunggu siri 246 ni..... sedihnye klu xde

edykhai said...

next chapter please...��

kittz said...

belum jumpa lg ke siri 246 bro.tahap puaka juga siri 246 ni ye

Demi SiKici said...

wahh beznya.. tgh feeling ni. tq utk blog awesome ni. klu dh ada siri 246 update lah ya.. terbaek (Y)

Muzz said...

Hanya sekadar nak tahu.
Bila boleh dapat siri 246 ini?

Tengah khayal membaca tiba-tiba missing file. Potong wei! potong...

Unknown said...

Missing file la plak... Tgh syok kot baca